Thursday 6 August 2015

BENDERA DAN JATA NEGERI DI MALAYSIA

1.      NEGERI PERLIS

BENDERA NEGERI PERLIS
Bendera Negeri Perlis terdiri daripada gabungan dua warna. Pada jalur atas bendera menonjolkan warna kuning dan pada jalur bawah bendera menonjolkan warna biru. Manakala, jalur berwarna kuning adalah warna tradisional bagi golongan raja-raja serta mengambarkan simbol pemerintahan beraja iaitu D.Y.M.M. Raja Perlis yang terdapat di Perlis, manakala jalur berwarna biru pula mengambarkan simbol rakyat jelata. Paduan warna ini menunjukkan hubungan erat antara "Raja dengan Rakyat". Ibu negeri perlis adalah kangar.



JATA NEGERI PERLIS
Lingkaran padi pada lambang Negeri Perlis memberi maksud pekerjaan utama dan hasil utama negeri iaitu padi. Perisai pula melambangkan kebanggaan dan kehormatan negeri itu. Lambang itu keseluruhannya bermakna kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya





2.      NEGERI KEDAH

BENDERA NEGERI KEDAH
Bendera negeri Kedah memaparkan anak bulan sabit berwarna hijau di bawah perisai kuning yang tanda negeri ini beragama Islam, dan dilingkungi oleh jambangan padi berwarna kuning di atas latar belakang merah. Merah adalah warna tradisional negeri Kedah yang turun-temurun dan juga melambangkan kemewahan, sementara bulan sabit adalah simbol agama Islam.
Perisai melambangkan Sultan negeri sebagai pelindung dan penjaga rakyatnya. Padi maknanya negeri ini makmur dalam hal kehidupan. Raja (Kerajaan) sentiasa menjaga dan memelihara rakyatnya dan penduduk dalam negeri ini daripada kezaliman. Ibu negeri kedah adalah Alor Star.

JATA NEGERI KEDAH
Jambangan yang terdiri daripada lengkaran biji padi melambangkan komoditi pertanian utama negeri – beras. Anak bulan sabit melambangkan Islam sementara perisai melambangkan kekuasaan pemerintah. Perisai pula melambangkan kekuasaan.





3.      NEGERI PULAU PINANG

BENDERA NEGERI PULAU PINANG

Warna biru muda bermaksud warna laut yang indah di sekeliling pulau itu. Warna putih pula membawa maksud negeri Pulau Pinang yang aman dan damai. Warna kuning melambangkan kemakmuran. Pohon Pinang ialah pohon dari mana pulau itu mendapat namanya. Ibu negeri pulau pinang adalah Georgetown.

JATA NEGERI PULAU PINANG
Pohon Pinang (Areca catechu) ialah tanda asal nama pulau itu. Petak yang berwarna kuning mengandungi gambarJambatan Pulau Pinang yang mempunyai dua tiang dan empat kebel yang menegakkan tiang tersebut. Dua tiang ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat kebel pula menggambarkan empat jenis keturunan rakyat di negeri ini, iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Jalur-jalur biru dan putih yang menjadi simbol lautan berjumlah lima. Tiap-tiap satu warna yang memberi makna simbol lima prinsip Rukun negara dan lima daerah pentadbiran yang terdapat di Pulau Pinang.




4.      NEGERI PERAK
BENDERA NEGERI PERAK
Bendera negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam. Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya.
·         Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
·         Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan.
·         Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan.

Seperti negeri lain perak turut mempunyai ibu negeri. Ibu negeri perak adalah Ipoh.

JATA NEGERI PERAK

Lambang Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi. Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah. Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai agama rasmi. Bunga Padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.

5.      NEGERI SELANGOR

BENDERA NEGERI SELANGOR
                                   
Empat bahagian yang berwarna kuning dan merah itu bermaksud daging dan darah iaitu unsur-unsur yang perlu untuk memberi jiwa dan tenaga kepada negeri ini. Bulan sabit dan bintang pula ialah sebagai lambang agama Islam, agama rasmi negeri Selangor manakala kesucian Agama Islam ditunjukkan dengan warna putih. Ibu negeri Selangor adalah Shah Alam.
JATA NEGERI SELANGOR
Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Tombak merah di tengah-tengah ialah Sambu-warna. Di sebelah kanan ialah Keris Pendek dan di kiri pula Keris Panjang. Ketiga-tiganya adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan Jawi yang berbunyi "Dipelihara Allah" ialah cogan negeri. Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai ikat pinggang oleh pahlawan-pahlawan zaman dahulu.










6.      NEGERI SEMBILAN
BENDERA NEGERI SEMBILAN

Warna kuning pada bendera membawa maksud D.Y.M.M. Raja. Bahagian tiga segi yang berwarna merah bermakna rakyat, sementara bahagian tiga segi yang berwarna hitam maksudnya Datuk-datuk Undang bagi Luak-luak yang menjadi bahagian-bahagian negeri ini.
JATA NEGERI SEMBILAN
Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan buah negeri dalam Gabungan Negeri Sembilan yang lama.
Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada masa lalu dengan British. Warna hitam maknanya Datuk-datuk Undang. Warna kuning maknanya Yang di-Pertuan Besar.
Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri dalam Gabungan yang lama. Pedang dan sarungannya di atas perisai itu tanda keadilan. Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah "Changgai Putri" tanda kebesaran Yang di-Pertuan Besar.
.




7.      NEGERI MELAKA
BENDERA NEGERI MELAKA
Warna-warna merah, putih, kuning dan biru mencerminkan warna-warna yang terdapat pada Bendera Persekutuan (Jalur Gemilang) dan menunjukkan bahawa Melaka ialah sebuah negeri dalam Persekutuan, sementara anak bulan sabit danbintang pecah lima itu pula ialah tanda agama Islam, agama negeri dan juga negara. Ibu negeri Melaka adalah Melaka City.

JATA NEGERI MELAKA
Pelbagai warna (putih, kuning dan biru) yang terdapat pada lambang negeri ini adalah warna-warna yang terdapat di Malaysia. Ia menunjukkan bahawa Melaka adalah sebahagian dari Malaysia. Manakala 5 keris yang ada melambangkan 5 orang pahlawan Melaka pada zaman silam yang terkenal dan berani: Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturi. Bulan sabit dan bintang pecah lima yang terdapat di atas tengah-tengahnya pula adalah simbol kepada Islam sebagai agama rasmi.
Di samping itu, terdapat pokok Melaka, pohon dari mana negeri itu mendapat namanya. Dua ekor pelanduk yang memegang perisai ialah untuk memperingati riwayat tua bagaimana Melaka diasaskan. Dalam hikayat itu menceritakan bagaimana Parameswara menyaksikan pergaduhan antara seekor pelanduk dengan seekor anjing semasa baginda sedang berehat di bawah pokok melaka. Baginda berasa kagum dengan kekuatan dan kebijaksanaan rusa yang kecil itu semasa berlawan dengan seekor anjing. Akhirnya baginda mengambil keputusan untuk mendirikan tempat tinggal di situ dan menamakannya Melaka. Pelanduk itulah yang telah menyebabkan Raja Melaka mengambil keputusan untuk menetap dalam negeri ini dan membukanya.

8.      NEGERI JOHOR
 BENDERA NEGERI JOHOR
Anak bulan dan bintang yang berwarna putih itu menandakan Raja yang berdaulat. Bahagian yang berwarna merah bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri. Bahagian yang berwarna biru tua itu pula maksudnya Kerajaan Negeri dan Rakyat Jelata. Ibu negeri Johor adalah Johor Bahru.

JATA NEGERI JOHOR
Mahkota tanda D.Y.M.M. Raja Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan Empat Buah Jajahan besar asal negeri itu, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau; sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam. Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. Lukisan yang berbunga-bunga di sebelah bawah perisai maksudnya Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini. Cogan kata negeri ialah " Kepada Allah Berserah".





9.      NEGERI PAHANG
BENDERA NEGERI PAHANG
Hitam adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintah di Negeri Pahang adalah seorang yang bertaraf Bendahara. Putih adalah melambangkan raja. Tambahan warna putih di atas hitam ini membawa makna bahawa Negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan beraja. Ini juga membawa erti bahawa negeri ini ada mempunyai keistimewaan-keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, tatasusila serta kuasa-kuasa yang tertentu yang ada pada raja sebagai sebuah negeri yang beraja dan berdaulat.Ibu negeri Pahang adalah Kuantan.
JATA NEGERI PAHANG
Mata cogan berbentuk daun kopi itu semuanya diperbuat daripada emas termasuk penongkok dan taran. Tujuan dipilih logam emas itu ialah melambangkan bahawa dalam tahun 1862 emas merupakan hasil masyhur yang utama di Negeri Pahang. Keduanya tiada kebal yang boleh menahan senjata yang diperbuat dari emas. Gading yang bersilang di bawah daun kopi itu melambangkan bahawa ketika itu gading gajah terdapat dengan banyaknya serata negeri Pahang sehingga ia menjadi satu perdagangan yang besar. Kalimah "Ya La Tif" bermaksud yang lemah lembut. Simboliknya pemerintah tidak menggunakan kekerasan. "Ya La Tif" juga dijadikan azimat yang berguna.








10.  NEGERI TERENGGANU
NEGERI TERENGGANU
Latar belakang berwarna putih membawa maksud D.Y.M.M (Duli Yang Maha Mulia) Sultan Terengganu. Ia melingkari tanah hitam yang bermaksud rakyat. Ini bermakna Sultan adalah memberi perlindungan kepada seluruh rakyat Baginda. Anakbulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Ibu negeri Terengganu adalah Kuala Terengganu.

JATA NEGERI TERENGGANU

Bulan bintang menunjukkan negeri Islam. Mahkota menandakan pemerintahan Diraja. Pedang, Keris Panjang dan Cokmarpula merupakan Alat Kebesaran Negeri. Manakala di sebelah kanannya ialah al-Quran melambangkan Agama Islam, agama rasmi negeri. Buku Undang-undang di sebelah kiri pula menandakan keadilan dan Wali menandakan Alatan Istiadat Kebesaran.











11.  NEGERI KELANTAN
BENDERA NEGERI KELANTAN
Bendera Kelantan yang berlatar belakang berwarna merah membawa maksud kejujuran penduduk, rakyat, raja. Lambang kebesaran bewarna putih pula menandakan kesucian Raja Negeri Kelantan. Ibu Negeri Kelantan adalah Kota Bahru.


JATA NEGERI KELANTAN
Mahkota itu tanda kedaulatan Sultan Kelantan. Dua tombak dan dua keris maksudnya kekuatan orang-orang Melayu Kelantan. Anak bulan dan bintang adalah tanda agama rasmi yakni Islam.
Dua laras meriam itu maknanya bahawa negeri ini adalah sentiasa bersedia untuk mempertahankan dirinya. Dua ekor kijangmengingatkan kembali kepada sejarah tua negeri ini di masa Che' Wan Kembang (Che'Siti) Permaisuri Kelantan (kira-kira pada akhir kurun ke-14) yang terlalu kasih pada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap dengan gambar binatang itu. Cogan jata ini ialah "Berserah Kepada Tuhan Kerajaan Kelantan"









12.  NEGERI SABAH




BENDERA NEGERI SABAH
Bendera negeri Sabah bersegi panjang berukuran 1:2. Di sudut sebelah atas bendera berwarna biru cerah menjadi latar belakang lukisan grafik bayangan Gunung Kinabalu berwarna biru tua meliputi suku bahagian bendera ini.
Bahagian hujung bendera yang berkibar dihiasi tiga jalur yang sama besar. Jalur atas berwarna biru muda, jalur tengah berwarna putih dan jalur bawah berwarna merah cili.
Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, manakala merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. Warna biru cerah menunjukkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama. Kelima-lima warna yang menghiasi bendera ini mewakili lima bahagian yang terkandung dalam Negeri Sabah. Lukisan grafik berbentuk Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah. Ibu negeri Sabah adalah kota Kinabalu.







JATA NEGERI SABAH

Sepasang tangan yang menjulang megah bendera negeri Sabah menghiasi lencana ini melambangkan semangat perpaduan erat dan kerjasama yang lama terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum demi mencapai kemajuan dan kejayaan bagi negeri Sabah.

Sebarisan lima warna di bawah sepasang tangan tersebut merupakan lima bahagian 'bahagian' yang terkandung dalam negeri Sabah.

Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan, warna biru cerah melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama rakyat.

Lukisan grafik berbentuk bayangan Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri Sabah. Di bahagian bawah jata ini, terdapat cogan kata negeri Sabah, iaitu Sabah Maju Jaya.











13.  NEGERI SARAWAK
BENDERA NEGERI SARAWAK
Warna merah melambangkan keberanian, kesungguhan dan pengorbanan rakyat dalam daya usaha mereka yang berterusan untuk mengejar serta mempertahankan kemajuan dan ketinggian maruah dalam proses membina Sarawak sebagai negeri contoh. Warna kuning menggambarkan keagungan Perundangan dan Peraturan (Order), perpaduan serta kestabilan dalam masyarakat yang berbilang kaum.
Warna hitam melambangkan kekayaan sumber asli Sarawak seperti minyak mentah, balak dan sebagainya yang merupakan landasan bagi memajukan rakyatnya.
Bintang pecah sembilan yang berwarna kuning melambangkan sembilan bahagian di mana rakyatnya tinggal dalam harmonis. Simbol bintang juga merupakan cita-cita tinggi rakyat dan hasrat perjuangan untuk meninggikan mutu kehidupan selepas merdeka. Ibu negeri Sarawak adalah Kuching.


JATA NEGERI SARAWAK
Lambang negeri menjunjungkan kemegahan "Bumi Kenyalang", terbang tinggi dengan aspirasi dan pencapaian dalam semua lapangan daya usaha, berpandukan ideologi politik pembangunan.
Lencana negeri ini juga boleh membezakan keungggulan Sarawak daripada negeri-negeri lain di dunia.






14.  WILAYAH PERSEKUTUAN
BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN

Bendera ini berteraskan bendera kebangsaan yang berjalur putih dan merah, warna biru tua bersama bintang serta bulan sabit berwarna kuning. Unsur-unsur ini tidak dapat dipisahkan memandangkan Kuala Lumpur adalah Ibu Negara Malaysia dan juga Wilayah Persekutuan.
·         14 jalur merah dan putih (melintang) menandakan keanggotaan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terletak di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
·         Bulan sabit dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi.
·         Bintang berbucu 14 melambangkan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bertindak sebagai Pusat Kerajaan dan Pentadbiran.
·         Warna biru tua di bahagian tengah melambangkan perpaduan wargakota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berbilang kaum.
·         Warna merah melambangkan keberanian, kegagahan sebuah bandaraya dalam menghadapi cabaran ke arah pembangunan bandaraya kosmopolitan yang dinamik dan berprogresif.
·         Warna kuning melambangkan kedaulatan dan kemakmuran Kuala Lumpur.
·         Warna putih melambangkan keluhuran, kebersihan dan keindahan bandaraya dalam taman bercahaya.

JATA WILAYAH PERSEKUTUAN

·         Cogan kata Bandaraya Kuala Lumpur, Maju dan Makmur ada pada jata ini.
·         Bulan Sabit dan bintang bersudut tiga belas menyatakan kedudukan agama Islam di Malaysia

·         Buku yang dengan kepingan hijau melambangkan Kuala Lumpur sebagai pusat pendidikan.




SUMBER  : WIKIPEDIA
PENULISAN : FARAH GHAZALI

No comments:

Post a Comment